‘Plantdemik’ kini melanda Filipina

Manila: Kegilaan mengumpul tanaman atau digelar ‘plantdemik’ mula merebak di Filipina hingga mengakibatkan harga beberapa spesis pokok meningkat mendadak selain menyebabkan berlakunya kes kecurian di taman awam dan hutan simpan.

Gambar memaparkan pelbagai spesis tumbuhan di balkoni kediaman banyak dikongsi di media sosial di negara ini berikutan warga Filipina mula memilih aktiviti berkenaan untuk mengurangkan tekanan.

“Sukar untuk dipercayai semakin ramai orang berminat dengan tanaman,” kata pereka landskap, Alvin Chingcuangco yang menyaksikan peningkatan harga untuk beberapa jenis monstera hingga mencecah 55,000 peso (kira-kira RM4,700), berbanding hanya 800 peso (kira-kira RM68) sebelum pandemik.

Penjual tanaman di Manila, Arlene Gumera-Paz berkata, pendapatan hariannya meningkat tiga kali ganda selepas beroperasi semula.

“Permintaan juga meningkat khususnya untuk tanaman jenis ‘alocasia’, ‘spider plant’ dan ‘peace lily’ yang meningkat sehingga empat kali ganda.

“Sukar untuk memahami manusia. Ketika tanaman ini masih (berharga) murah, tiada siapa yang hirau,” katanya.

Namun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa terdapat tanaman yang ditawarkan di pasaran diperoleh secara tidak sah.

Renjer hutan di Zamboanga yang biasanya memantau kegiatan pembalakan dan pemburuan haram, kini perlu memerhati ‘pencuri tanaman’, selepas pihak berkuasa menyedari terdapat beberapa spesis yang disiarkan di media sosial hanya boleh diperoleh dari kawasan dilindungi.

Memindahkan atau mengambil spesis terancam dari hutan adalah salah di sisi undang-undang Filipina yang boleh dikenakan hukuman berat.

Mengumpul tanaman boleh dilakukan namun perlu mendapatkan permit.

Pencuri tanaman ini hanya mendapatkan jenis yang popular di media sosial seperti ‘staghorn ferns’ dan ‘pitcher plants’.