PM Israel adakan rundingan rahsia dengan Arab Saudi

Riyadh: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan mengadakan rundingan rahsia di Arab Saudi bersama Putera Mahkota Mohammed bin Salman, semalam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo, yang berada di Israel minggu lalu, juga menghadiri pertemuan itu, lapor rangkaian penyiaran awam Israel, Kan, hari ini.

Laporan itu turut mendakwa pegawai Israel yang tidak disebutkan namanya mengatakan Netanyahu dan ketua agensi perisik Mossad, Yossi Cohen, “terbang semalam ke Arab Saudi bertemu Pompeo dan MBS (merujuk Putera Mahkota Mohammed bin Salman) di bandar Neom.”

Beberapa media Israel lain turut melaporkan maklumat sama pagi hari ini.

Pejabat Netanyahu tidak memberi sebarang komen mengenai laporan itu.

Pertemuan rahsia itu dibuat selepas Israel menyetujui perjanjian bersejarah untuk menormalkan hubungan dengan dua sekutu Arab Saudi di Teluk, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

Kesepakatan itu dilakukan pentadbiran Presiden AS Donald Trump yang kini bakal meninggalkan Rumah Putih di Washington.

Pegawai AS dan Israel berulang-kali mengeluarkan dakwaan bahawa lebih banyak negara Arab bersedia menjalin hubungan dengan Israel.

Secara terbuka, Arab Saudi mengatakan akan berpegang teguh dengan ketetapan Liga Arab untuk tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel sehingga konflik dengan Palestin diselesaikan.