PM Itali umum langkah bendung penularan gelombang kedua

Rom: Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte pada Ahad mengumumkan langkah pencegahan lebih menyeluruh bertujuan untuk membendung gelombang kedua penularan Covid-19 dan mengelakkan sekatan pergerakan baharu yang boleh memburukkan lagi ekonomi negara.

Langkah itu diambil ketika jumlah jangkitan baharu harian mencatat kenaikan tertinggi, memberi tekanan kepada perkhidmatan hospital dan unit rawatan rapi (ICU), lapor Agensi Anadolu.

“Kita tidak boleh buang masa dan kita perlu bertindak dengan mengambil semua langkah perlu untuk mengelakkan sekatan pergerakan,” kata Conte pada sidang media.

“Negara tidak berupaya untuk sekatan pergerakan baharu yang akan membahayakan seluruh ekonomi.”

Di bawah peraturan baharu, datuk bandar mempunyai kuasa untuk menutup tempat awam dan kawasan lain selepas 9 malam, hanya membenarkan akses kepada penduduk dan pemilik perniagaan.

Restoran dan bar akan ditutup pada tengah malam dan hanya enam orang dibenarkan duduk di setiap meja.

Gimnasium dan kolam renang tetap dibuka tetapi bergantung kepada keadaan, jika peraturan tidak dipatuhi, ia akan ditutup.

Conte berkata, sekolah dan universiti akan terus dibuka tetapi digalakkan pembelajaran jarak jauh atau secara dalam talian.

Perdana Menteri itu berkata, Itali tidak mampu memperkenalkan langkah pencegahan yang sama semasa gelombang pertama, memandangkan ekonomi negara baru menunjukkan tanda-tanda positif.

“Kita mesti berusaha melindungi kesihatan dan ekonomi. Kerajaan sentiasa ada dan setiap rakyat perlu menjalankan tanggungjawab mereka,” kata Conte.

Jumlah kes baharu Covid-19 di Itali pada Ahad mencatat rekod tertinggi iaitu , 11,705 dalam tempoh 24 jam, ketika jumlah pesakit dirawat dalam ICU terus meningkat.

Itali juga mencatatkan 69 kematian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 36,543 orang meninggal dunia setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19