Polis mati ditembak

Auckland: Seorang anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi parah selepas ditembak oleh individu tidak dikenali.

Ketika kejadian, mereka melakukan pemeriksaan rutin trafik di Massey, pinggir bandar raya ini.

BBC melaporkan tembakan dipercayai dilepaskan oleh seorang daripada dua individu yang menaiki sebuah kenderaan.

Polis kini giat memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian.

Komander daerah Waitemata, Superintendan Naila Hassan berkata, ketika melarikan diri, kenderaan suspek turut melanggar seorang individu berada di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, susulan kejadian, lapan sekolah di kawasan itu diarahkan untuk ‘lockdown’

“Bagaimanapun, keadaan adalah terkawal dan selamat,” katanya.

Insiden membabitkan anggota polis ketika bertugas itu adakah pertama sejak 2009.

Keganasan membabitkan senjata api amat jarang dilaporkan di negara ini.

Bagaimanapun, 51 maut dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, pada tahun lalu.

Semalam, Parlimen negara itu meluluskan undang-undang untuk pendaftaran senjata api bagi mengesan setiap pemiliknya.

Ia bagi memastikan hanya individu yang layak boleh memiliki dan menggunakan senjata api.