Polis New York dituduh pengintip China

New York: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa seorang lelaki Tibet yang bertugas sebagai anggota polis di Queens di sini, atas pertuduhan melakukan pengintipan.

Lelaki berkenaan didakwa mengumpul maklumat mengenai komuniti Tibet untuk kerajaan China.

Berdasarkan kertas pendakwaan, dia juga dikatakan bertindak atas arahan seorang konsulat China di New York.

Menerusi kenalannya dalam kalangan komuniti Tibet, lelaki itu mengumpul maklumat mengenai aktiviti masyarakat terbabit dan mengenal pasti sumber maklumat berkenaan.

Selain itu, lelaki berkenaan yang juga anggota pasukan tentera simpanan Amerika Syarikat (AS) didakwa membenarkan individu dari konsulat China untuk menghadiri acara yang dianjurkan oleh Jabatan Polis New York (NYPD).

Kerajaan China didakwa membayar lelaki berkenaan ribuan dolar untuk perkhidmatannya.

Pegawai berkenaan didakwa atas empat pertuduhan, termasuk menyertai khidmat negara asing di bumi AS dan menghalang operasi tugas awam.

Dia sudah dihadapkan di mahkamah pada Isnin dan kini dalam tahanan, kata jurucakap Timbalan Pendakwa Raya Brooklyn kepada AFP.

Menurut NYPD, anggota polis itu kini ditanggung tugas tanpa menerima gaji.

Dilahirkan di China, lelaki itu menerima suaka politik daripada AS dengan mendakwa disiksa oleh Kerajaan China kerana berketurunan etnik Tibet.

Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa mendapati, ibu bapanya adalah ahli kepada Parti Komunis China.

Selepas membenarkan kuasa autonomi bagi Tibet untuk mentadbir wilayah itu antara 1912-1950, Beijing mengambil alih wilayah berkenaan pada 1951.

Pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama tinggal dalam buangan sejak 1959.