Polis susukan mangsa culik

Bogota: Tidak tergamak membiarkan bayi mangsa culik yang kelaparan, seorang pegawai polis di Colombia mengambil keputusan untuk menyusukan bayi berkenaan.

Berdasarkan kenyataan polis, bayi itu diculik daripada ibu bapanya di Cartagena de Indias, bandar di utara Colombia oleh seorang wanita yang teringin memiliki anak.

Penculik itu mendekati ibu bapa bayi itu dengan menawarkan pelbagai barangan dan makanan bayi sebelum melarikan anak pasangan berkenaan.

Penculik itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum diselamatkan polis pada hari sama.

Bayi berusia lapan hari itu kemudian disusukan pegawai polis, Heidy Jaramillo Vega yang diberi kepercayaan menjaga sementara bayi itu sebelum dipulangkan kepada ibu bapanya.

Vega, 35, dari Pasukan Kanak-Kanak dan Remaja Polis Cartagena yang turut mempunyai bayi perempuan berusia enam bulan berkata, nalurinya tersentuh apabila melihat keadaan bayi berkenaan.

“Keadaannya sangat menyentuh hati saya. Saya bersemangat mahu membantunya,” katanya. Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan sedih.

“Saya tak pernah melalui pengalaman ini sepanjang 11 tahun karier saya,” katanya seperti dipetik dalam portal Daily Mirror.

Katanya, banyak perkara bermain di fikirannya apabila kali pertama diberikan tugasan menjaga bayi itu.

“Saya membayangkan wajah bayi itu yang kesedihan dan tangisannya yang kehilangan ibunya.

“Saya juga fikirkan, bayi itu mesti sangat kelaparan dan ia membuatkan saya mendakapnya. Sangat puas apabila melihat wajah ibu yang gembira ketika bayi itu dipulangkan kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Antonio Parra Jaimes berkata, pihaknya mengesan dan menyerbu sebuah rumah sebelum berjaya menyelamatkan bayi itu.

Wanita terbabit ditahan dan dituduh di bawah akta penculikan.