Positif Covid-19, wanita teruskan majlis perkahwinan

Los Angeles: Seorang wanita di Ontario, Amerika Syarikat, tetap meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan teman lelakinya, meskipun disahkan positif Covid-19, tiga hari sebelum majlis perkahwinannya.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan risiko kepada pengantin lelaki dan tetamu, pasangan itu memutuskan untuk berkahwin dalam acara yang bertemakan watak kisah dongeng Rapunzel.

Fox News melaporkan pengantin wanita itu yang dikenali sebagai Lauren memakai gaun putih dan duduk di tepi tingkap di sebuah rumah, sepanjang majlis berkenaan berlangsung.

Pengantin lelaki, Patrick Delgado pula berada di tingkat bawah rumah berkenaan.

Menerusi laporan KTLA, pasangan itu berkata, mereka sebelum ini sudah menjadualkan semula majlis perkahwinan sebanyak tiga kali berikutan penularan pandemik Covid-19.

Akhirnya, selepas mengurangkan jumlah tetamu dan beberapa kali bertukar venue, pasangan itu mahu mengadakan majlis perkahwinan dengan hanya 10 tetamu, pada 20 November lalu.

Bagaimanapun, tiga hari sebelum majlis itu berlangsung, Lauren disahkan positif Covid-19.

Tidak mahu lagi bertangguh, pasangan berkenaan membuat keputusan untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka dengan melakukan pelbagai pengubahsuaian.

Mereka tidak dapat berpegangan tangan dan menyentuh satu sama lain, sebaliknya hanya dihubungkan dengan tali berwarna putih.

Mereka kemudian hanya kembali bertemu selepas pengantin wanita selesai menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari.

Namun, pasangan itu memberitahu KTLA bahawa merancang untuk mengadakan majlis yang lebih besar sempena sambutan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19