Potong jari, masuk plastik, buang

Medan: Terdesak mahukan pampasan insurans bagi melunaskan hutang, penjual cili di Deli Serdang, Sumatera nekad memotong empat jarinya dengan pisau daging hingga putus.

Dia kemudian memasukkan jari berkenaan dalam plastik dan membuangnya ke dalam parit bagi melupuskan bukti.

Bagaimanapun, usaha berani wanita itu hanya sia-sia apabila berjaya dikesan polis ketika dia membuat laporan mendakwa menjadi mangsa samun.

Ketua Polis Daerah Sumut Irjen, Martuani Sormin mengesahkan laporan palsu wanita itu yang mendakwa jarinya putus selepas dilibas penyamun dengan senjata tajam.

“Dia juga mengatakan penyamun merampas beg tangan, wang serta telefon bimbitnya,” katanya seperti dipetik dalam portal Kompas.

Bagaimanapun, Martuani berkata, siasatan lanjut dijalankan mendapati wanita itu mencurigakan, malah pemeriksaan di tempat kejadian juga bercanggah dengan keterangannya.

“Bukti CCTV (kamera litar tertutup) turut tidak menunjukkan suspek disamun.

“Akhirnya, dia mengaku semuanya hanya lakonan bagi mendapatkan pampasan insurans kerana dia terdesak ingin membayar hutang,” katanya.

Jelasnya, suspek yang memotong jarinya menggunakan pisau daging kini berdepan hukuman penjara tujuh tahun kerana laporan palsu itu.

Keterangan gambar:

KETUA Polis Daerah Sumut Irjen, Martuani Sormin. FOTO Agensi.