Presiden Lubnan seru rakyat kenang Hariri

Beirut: Presiden Lubnan Michel Aoun menyifatkan keputusan tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri selari dengan hasrat rakyat yang mahu mendedahkan dalang di sebalik kejahatan itu.

Agensi berita Anadolu melaporkan Aoun dalam satu kenyataan berkata, pembunuhan Hariri mengancam kestabilan dan keamanan di Lubnan, seorang tokoh negara yang mendapat sokongan rakyat menjadi sasaran serangan itu.

Aoun menggesa rakyat Lubnan mengenang Hariri, juga pesanan pemimpin itu mengenai perpaduan dan bersatu dalam usaha melindungi negara daripada sebarang percubaan hasutan.

Tribunal yang disokong PBB itu semalam mendapati defendan utama, Salim Jamil Ayyash bersalah melakukan pengeboman yang menyebabkan Hariri terbunuh.

Ayyash anggota kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Bagaimanapun, menurut tribunal itu tiada bukti menunjukkan ‘kepemimpinan Hizbullah’ atau rejim Syria terbabit dalam pembunuhan itu.

Tribunal membebaskan Hassan Marei, Hussein Oneissi dan Assad Sabra kerana kekurangan bukti.

Pada 14 Februari 2005, Hariri terbunuh dalam insiden letupan bom kereta yang mensasarkan konvoi di Beirut.

Anak Hariri, Saad kemudiannya menggantikan bapanya sebagai perdana menteri selepas memenangi pilihan raya.

Pada 2007, tribunal khas untuk Lubnan ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan Hariri.

Pada 2011, tribunal mengeluarkan waran tangkap terhadap empat anggota Hizbullah yang disyaki terbabit dalam jenayah itu.

Hizbullah enggan menyerahkan suspek sehingga kini.

Pada 2017, PBB melanjutkan mandat tribunal itu selama tiga tahun.

Keputusan tribunal pada awalnya dijadual diumum pada 7 Ogos tetapi ditangguhkan sebagai menghormati insiden letupan maut yang berlaku di Beirut pada 4 Ogos lalu.