‘Prison Break’ versi China di Indonesia

Tangerang, Indonesia: Seorang penyeludup dadah warganegara China yang sedang menanti hukuman mati dilaporkan melarikan diri dari penjara selepas menggali lubang sedalam 30 meter dari selnya.

Cai Ji Fan yang dijatuhi hukuman mati pada 2017 kerana menyeludup 110 kilogram dadah jenis methamphetamin, melarikan diri dari penjara Tangerang di Banten minggu lalu dengan melalui lubang sempit yang dipercayai bersambung dengan pembetung.

“Ini adalah kali kedua dia melarikan diri,” kata Ketua Polis Tangerang, Sugeng Hariyanto.

Katanya, sebelum ini lelaki berkenaan pernah terlepas dari sel di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional di Jakarta ketika dalam tempoh reman.

Pegawai penjara berkata, Cai turut mengajak rakan selnya namun, lelaki itu enggan turut serta.

Pihak berkuasa berkata, mereka menemui besi umpil, pahat, pemutar skru dan alat lain yang digunakan untuk menggali lubang itu, dengan spekulasi bahawa dia mungkin mendapatkan peralatan itu ketika melakukan kerja pembinaan di dapur penjara.

Cubaan kali pertama Cai untuk melarikan diri pada 2017 dilakukan dengan melalui lubang yang digali di bilik air menggunakan batang besi.

Dengan disertai beberapa banduan lain, mereka memanjat dinding setinggi 2.5 meter namun, berjaya ditangkap semula di Jawa Barat tiga hari kemudian.

Kejadian melarikan diri dari penjara bukanlah perkara pelik di Indonesia, walaupun ia jarang membabitkan warga asing.

Ini kerana penjara di sana penuh sesak dan kekurangan kakitangan.

Pada 2018, sekitar 90 banduan melarikan diri dari penjara di Banda Aceh selepas merobohkan pagar ketika solat jemaah.

Setahun sebelumnya, lebih 400 tahanan melarikan diri dari penjara yang sesak di Riau.

Juga pada tahun 2017, empat warga asing menggali jalan keluar dari penjara Kerobokan yang terkenal di Bali.

Seorang warga Bulgaria dan India ditangkap di Timor Timur seminggu kemudian, tetapi warga Australia dan Malaysia tidak pernah dijumpai.