Profesor mengaku orang kulit hitam, walaupun berkulit putih

Washington: Seorang profesor di Universiti George Washington disiasat selepas mengaku sebagai orang kulit hitam, walaupun sebenarnya dia berkulit putih.

Jessica Krug, profesor sejarah di universiti yang terletak di ibu negara Amerika Syarikat (AS) dan banyak memberi tumpuan kepada pengajian berkaitan Afrika mengatakan dia hanya menyamar untuk ‘bahagian lebih baik’ dalam kehidupannya sebagai seorang dewasa.

“Saya telah dinafikan sebagai anak Yahudi berkulit putih di pinggir bandar Kansas City dan orang menganggap saya berasal dari pelbagai identiti orang kulit hitam di mana saya tidak berhak untuk tuntut,” katanya.

Krug, yang berkulit cerah berkata, pertama kali dia mengaku sebagai orang kulit hitam Afrika, kemudian orang kulit hitam berasal dari AS dan seterusnya sebagai orang Carribean yang berasal dari keluarga kulit hitam di Bronx.

Seorang bekas pelajarnya berkata kepada CNN bahawa Krug pernah mengakui bahawa dia bangga dengan asal usulnya dari Bronx, namun memaklumkan kepada pelajar lain bahawa dia berasal dari Puerto Rico.

Krug berkata kepada Medium bahawa tindakannya adalah “sangat melambangkan keganasan, kecurian dan rampasan dari pelbagai cara di mana orang bukan kulit hitam terus menggunakan dan menyalahgunakan identiti dan budaya kulit hitam.”

Profesor itu juga menggelar dirinya sebagai ‘lintah budaya’.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, universiti berkenaan berkata, pihaknya akan menilai situasi yang berlaku.

“Dr Krug tidak akan mengajar pada semester ini.

“Kami mahu nilai keperitan yang ditimbulkan oleh keadaan ini kepada ramai orang dalam komuniti kami,” katanya.

Situasi sama pernah berlaku pada 2015 di mana aktivis kontroversi AS, Rachel Dolezal mengaku bahawa dirinya adalah orang kulit hitam walaupun kedua-dua ibu bapanya berkulit putih.