Putera Belgium positif Covid-19

Brussels: Putera Belgium, Putera Joachim disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri parti di Sepanyol, akhir bulan lalu.

Ketika itu, Sepanyol masih melaksanakan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Insider memetik laporan BBC, putera berusia 28 tahun itu dilaporkan menghadiri parti berkenaan bagi mewakili keluarga diraja Belgium.

Putera Joachim dikatakan mengalami gejala ringan Covid-19 dan masih berada di Sepanyol.

Difahamkan, beliau ke Sepanyol pada 26 Mei lalu dan menurut akhbar Sepanyol El País, kedatangannya adalah atas urusan profesional.

Bagaimanapun, laporan sama tidak memperincikan butiran lawatan berkenaan.

Dua hari selepas itu, Putera Joachim menghadiri sebuah pesta di Cordoba dan menjadi salah seorang dari 27 tetamu majlis berkenaan.

Pegawai Sepanyol kini sedang melakukan siasatan berhubung kes itu dan kesemua tetamu pesta berkenaan dikehendaki menjalani kuarantin.

Terdahulu, pegawai di Cordoba memaklumkan larangan perhimpunan lebih dari 15 individu untuk memastikan adanya penjarakan sosial.

Mereka yang ingkar dengan peraturan itu boleh didenda hingga 10,000 Pound Sterling (kira-kira RM53,487).