Racun tikus ragut nyawa

Ponogoro: Tertekan selepas melahirkan anak menyebabkan seorang wanita mengambil jalan singkat dengan membunuh diri, kelmarin.

Mariana, 29, dari daerah Bungkal, Jawa Tengah, dikatakan meminum racun tikus untuk menamatkan riwayatnya.

Ketua Polis Bungkal AKP Joko Suseno berkata, wanita itu dikatakan mengalami kemurungan kerana berjauhan dengan suaminya yang bekerja di luar negara.

Menurutnya, wanita berkenaan sebelum ini turut bekerja di luar negara namun kembali ke kampung untuk melahirkan anaknya.

“Mariana keluar untuk ke kedai menaiki motosikal sebelum pulang membawa bungkusan dan terus masuk ke bilik.

“Sejam kemudian ibunya yang curiga dengan tindakan Mariana terus masuk ke dalam bilik terkejut melihat dia terbaring kekejangan,” katanya menerusi Kompas.com

Beliau berkata, terkejut dengan keadaan anak perempuannya itu menyebabkan wanita terbabit segera memanggil suaminya untuk mendapatkan pertolongan.

Katanya, dalam keadaan cemas itu Mariana diberikan air kelapa sebelum dia memuntahkan racun tikus yang diminumnya.

“Mariana kemudiannya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Keluarganya kemudian membuat laporan polis berhubung kematian wanita itu dan jenazah dikebumikan di kampungnya,” katanya.