Ramai rakyat tua di Korea Selatan

Seoul: Populasi di Korea Selatan meningkat tua dengan cepat apabila rakyat berusia 65 tahun ke atas merekodkan hampir 16 peratus daripada penduduknya, menurut data dikeluarkan kerajaan pada Isnin.

Penduduk yang berada dalam kumpulan usia itu mencecah 8.13 juta tahun ini, atau 15.7 peratus daripada populasi negara, lapor Agensi Berita Yonhap berdasarkan data dari Statistik Korea.

Jumlah rakyat berusia 65 tahun ke atas dijangka terus meningkat sehingga 10.51 juta pada 2025, atau 20.3 peratus daripada jumlah populasi, meletakkan Korea Selatan di ambang ‘super aged society’.

Super aged society adalah negara yang mempunyai peratus orang tua lebih ramai.

Sesebuah negara dikategorikan sebagai ‘super aged society’ apabila sekurang-kurangnya 21 peratus rakyatnya berusia 65 tahun ke atas.

Negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu menjadi masyarakat berusia pada 2017, apabila penduduk berusia 65 tahun mencecah 14 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.

Pada 2060, angka itu dijangka meningkat sehingga 43.9 peratus.

Seluruh kawasan di Korea Selatan kecuali pusat pentadbiran Sejong, dijangka menjadi ‘super-aged’ dalam tempoh 10 tahun.

Pada 2020, penduduk berusia 65 tahun ke atas di kawasan itu dijangka mencecah 14.8 peratus daripada jumlah populasinya.

Data juga menunjukkan penyakit kanser menjadi punca utama kematian di Korea Selatan tahun lalu, dengan 751 daripada 100,000 meninggal akibat penyakit itu.

Ia diikuti penyakit jantung (336 kematian); pneumonia (238), penyakit serebrovaskular (232) dan kencing manis (87).

Hampir separuh daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas disediakan bantuan kewangan, dengan 31 peratus bergantung kepada pencen, menurut data itu.