Rambut Abraham Lincoln RM334,854

Boston: Harga seikat rambut bersama telegram bercap darah bekas Presiden ke-16 Amerika Syarikat (AS), Abraham Lincoln hampir menyamai sebuah Mercedes-Benz GLC300 AMG Line.

Menurut kenyataan pusat lelongan, RR Auction Boston ‘harta peninggalan’ Lincoln itu dijual pada Sabtu dengan nilai AS$81,000 (RM334,854).

Rambut sepanjang lima sentimeter itu kali terakhir dijaga Dr Lyman Beecher Todd, sepupu kepada balu Lincoln, Mary Todd Lincoln.

Hasil penjualan rambut bekas pemimpin itu melangkaui sasaran asal RR Auction yang menjangkakan rambut itu akan terjual pada harga AS$75,000 (RM310,050) saja.

Memetik portal United Press International, rambut itu diperoleh ketika pemeriksaan bedah siasat selepas Lincoln ditembak mati oleh John Wilkes Booth pada 14 April 1865.

Dilaporkan, Dr Lyman menghadiri sesi bedah siasat itu dan dipercayai membalut rambut pemimpin itu ke telegram yang dihantar oleh pembantunya, George Kinnear.

RR Auction menjamin keaslian rambut itu dengan bukti lain adalah sepucuk surat yang ditulis anak lelaki Dr Lyman, James Todd, pada 1945.

Dalam surat itu, James mendakwa potongan rambut itu dalam jagaan sepenuhnya keluarga mereka, namun pusat lelongan itu mengesahkan kali terakhir rambut itu dijual pada 1999.

“Telegram itu tiba di Washington beberapa minit selepas Abraham Lincoln ditembak,” tulis James.