Rangka harimau berusia hampir 40 juta tahun dilelong esok

Geneva: Rangka harimau purba spesies jarang dijumpai yang berusia hampir 40 juta tahun bakal dijual di Switzerland esok dengan nilai mencecah AS$88,750 (RM361,301).

Rangka sepanjang 120 sentimeter itu dijangka dijual dengan nilai permulaan AS$66,560 (RM270,965) hingga AS$88,750.

Pengarah Pusat Lelongan Piguet, Bernard Piguet berkata, rangka berkenaan menjalani proses pemulihan menggunakan gabungan teknologi moden.

“Rangka ini sangat luar biasa kerana berusia 37 juta tahun. Proses pemulihannya hampir siap 90 peratus.

“Beberapa tulang yang hilang digantikan semula dengan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) dan bingkai logam hitam di sekelilingnya,” katanya kepada AFP.

Kerangka asli itu ialah tulang Hoplophoneus berasal dari keluarga Nimravidae yang pupus di Amerika Utara.

Mamalia pemangsa seperti ini biasanya digelar harimau bergigi mamalia. Pemangsa yang pupus seperti itu biasanya disebut harimau bergigi pedang.

Menurut pengumpul Switzerland, Yann Cuenin, kerangka itu ditemui di selatan Dakota ketika penggalian terakhir musim panas tahun lalu.

“Seperti dalam kebanyakan penemuan, sebahagian daripada kerangka haiwan ini mengalami hakisan.

“Ia ditemui pemilik penternakan yang yang ternampak tulang dari dalam tanah di kawasan kebunnya,” katanya.

Selain kerangka itu, terdapat banyak khazanah lampau termasuk ammolite, batu permata organik seperti opal dalam warna oren dan merah turut dipamerkan dalam acara lelongan itu.

Malah, peminat haiwan purba lama juga berpeluang mendapatkan gigi T Rex, dinosaur spesies tyrannosaurus yang mempunyai sirip sepanjang 85 sentimeter.