Redah laut untuk balik kampung

Buenos Aires: “Misi berjaya,” itu luahan kegembiraan Juan Manuel Ballestero, pelayar dari Argentina sebaik tiba di kampung halamannya selepas belayar lebih 85 hari dari Portugal.

Ballestero, 47, membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Argentina bagi melawat ibu bapanya yang sudah berusia selepas ketiadaan pesawat merentasi negara akibat Covid-19.

Lelaki itu merentasi 12,000 kilometer bersendirian dengan menggunakan bot layar ‘Skua’ bersaiz sembilan meter.

Selepas disahkan negatif ujian Covid-19 sebaik tiba di pelabuhan di Mar del Plata, Ballestero segera bergerak ke kampung untuk menemui ibunya Nilda, 82, dan bapanya Carlos, 90.

“Saya berjaya lakukan apa yang diperjuangkan hampir tiga bulan lalu. Saya berbuat demikian untuk bersama keluarga,” katanya.

Dia pada mulanya merancang untuk tiba di Argentina pada 15 Mei lalu bagi menyambut ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-90 namun tidak dapat berbuat demikian.

Bagaimanapun, dia sempat meraikan Hari Bapa bersama keluarganya.

Ballestero bekerja di Sepanyol merancang untuk merentasi lautan sendirian selepas penerbangan pulang ke Argentina dibatalkan akibat pandemik virus berkenaan.

Dia mendalami pelbagai perkara sepanjang pelayarannya bagaimana ribuan manusia mati setiap hari sesuatu yang sangat mengejutkan.

“Di sana terdapat ikan lumba-lumba dan paus di saat manusia sedang berdepan saat sukar,” katanya.

Covid-19 sudah meragut 1,000 nyawa di Argentina dengan kebanyakan korban adalah warga emas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19