Remaja dirogol ketika perintah berkurung

Mexico City: Malang buat seorang remaja perempuan apabila dirogol sebelum dibunuh lelaki tidak dikenali yang menceroboh rumah ketika ibunya keluar membeli barangan keperluan berikutan perintah berkurung yang sedang dikuatkuasakan.

Mirror UK melaporkan, Ana Paola, 13, ditemui sudah tidak bernyawa dalam bilik tidur di rumahnya di Nogales. 

Menurut laporan media tempatan, suspek mengambil kesempatan ketika mangsa bersendirian di rumah namun tiada kecurian dilaporkan.

Ibu mangsa yang tidak didedahkan namanya bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan oleh bekas suaminya apabila tidak dapat menghubungi anak mereka itu.

Sebaik tiba di rumah, wanita itu melihat sepasukan polis sudah berkumpul di kediamannya.

Jurucakap polis berkata, mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di muka dipercayai akibat dipukul.

Menerusi laman sosial, ibu mangsa meluahkan perasaannya berhubung insiden yang berlaku.

“Tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya.

“Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih kepada anak perempuan saya kerana menyerikan hidup saya  selama 13 tahun dan hari ini, dia sudah bergembira di alam abadi,” katanya. 

Insiden itu menimbulkan kemarahan warganet kerana berlaku ketika perintah berkurung akibat ancaman Covid-19 dan rata-ratanya meletakkan tanda pagar #JusticiaParaAnaPaola di laman sosial sebagai tanda solidariti.

Bagaimanapun, tiada laporan berhubung penangkapan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19