Remaja disyaki bunuh wanita 54 tahun

WASHINGTON: Seorang remaja perempuan ditahan selepas disyaki ada kaitan dengan pembunuhan wanita berusia 54 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah rumah di Lillington, di sini, semalam.

Mirror UK melaporkan, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.38 pagi, hari yang sama.

Sejurus tiba di tempat kejadian, polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan cuba memberi bantuan awal kecemasan iaitu resusitasi kardio pulmonari (CPR) tetapi gagal kerana wanita berkenaan sudah meninggal dunia.

Ketua Inspektor, Caroline Corfield memaklumkan siasatan berhubung insiden itu masih di peringkat awal .

“Sepasukan anggota polis ditugaskan sepanjang hari di tempat kejadian bagi mencari sebarang bukti yang ada bagi membantu siasatan.

“Diharap, mereka yang ada di kawasan berhampiran pada waktu kejadian tampil menghubungi pihak polis untuk menyalurkan maklumat termasuk jika ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera dashboard (dashcam),” katanya.

Selain remaja berkenaan, seorang lelaki berusia 28 tahun turut ditahan dan dibawa ke balai polis Warwickshire bagi disoal siasat.

Sementara itu, jurucakap perkhidmatan ambulans Barat Midslands berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.05 pagi.

“Dua ambulans dikejarkan ke tempat kejadian dan sejurus tiba, kami mendapati seorang wanita parah menerima bantuan kecemasan daripada pegawai polis.

“Anggota paramedik cuma memberi bantuan namun wanita itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.