Remaja kulit hitam mati dicekik

AFP

Washington: Seorang remaja lelaki kulit hitam meninggal dunia dua hari selepas dicekik oleh kakitangan sebuah pusat pemulihan di Kalamazoo, Michigan.

Insiden berkenaan yang tular di media sosial mencetuskan kontroversi ketika protes menentang keganasan polis dan anti-perkauman masih berlaku di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Dalam video berkenaan, Cornelius Fredericks, 16, dikatakan dicekik petugas di Akademi Lakeside.

Ia selepas dia membaling sandwic kepada seorang lagi remaja lelaki di kafeteria di pusat berkenaan.

Selepas 10 minit, remaja itu kelihatan tidak sedarkan diri dan petugas cuba memberi bantuan perubatan dan mendapatkan bantuan kecemasan.

Kematiannya mengimbau semula insiden lelaki kulit hitam George ketika ditahan oleh anggota polis berkulit putih di Minneapolis pada 25 Februari lalu.

Dalam pada itu, susulan kematian Fredericks, tiga individu termasuk seorang jururawat Akademi Lakeside sudah didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat dan penganiayaan kanak-kanak.