‘Restoran pesawat’

Singapura: Terkesan dengan pandemik Covid-19, pengusaha industri penerbangan di Singapura mencari alternatif menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan restoran dalam pesawat.

Sabtu lalu, buat pertama kalinya dua pesawat Singapore Airlines ditukar kepada restoran yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung menikmati makanan tengah hari sambil menonton filem di tempat duduk masing-masing.

Lebih 400 pengunjung tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan keselamatan seperti biasa di Lapangan Terbang Changi sebelum menaiki pesawat Singapore Airlines untuk menjamu selera.

Syarikat penerbangan yang membuang ribuan pekerja dan ‘merehatkan’ hampir semua pesawatnya tahun ini menawarkan pengunjung menjamu selera di dua pesawat penumpang terbesar di dunia, A380.

PRAMUGARI menghidangkan makanan. FOTO AFP
PRAMUGARI menghidangkan makanan. FOTO AFP

Sebahagian daripada tempat duduk dibiarkan kosong sebagai mematuhi penjarakan fizikal.

Pelajar, Zhou Tai Di,17, berkata, hidangan disediakan melebihi jangkauannya dan sangat memenuhi cita rasanya.

“Makanannya cukup luar biasa, lebih sedap daripada yang mereka sediakan semasa dalam penerbangan,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, penjawat awam, Calvin Teo, 29, berkata, dia sanggup membayar 321 dolar Singapura (kira-kira RM984) untuk enam hidangan dalam kelas perniagaan demi mengubat kerinduan naik pesawat.

“Sudah tentu pengalaman di udara lebih baik kerana rasa teruja mengunjungi destinasi baharu.

“Tetapi oleh kerana kekangan Covid-19, kaedah ini satu daripada pengganti terbaik untuk merasai semula pengalaman terbang di udara,” katanya.

Syarikat penerbangan itu menawarkan lapan hidangan dalam suite kelas pertama pada harga 642 dolar Singapura (RM1,967) serta 53 dolar Singapura (RM162) bagi tiga hidangan dalam kelas ekonomi.

Pengunjung juga berpeluang menjelajah pesawat dua tingkat itu dan merakamkan gambar kenangan bersama juruterbang dalam kokpit.

Kaedah makan dalam pesawat itu terbukti popular dan mendapat permintaan tinggi apabila syarikat penerbangan itu mengumumkan enam sesi tambahan.

Ia selepas 900 tiket hidangan tengah hari habis terjual dalam tempoh 30 minit ketika sesi tempahan dibuka awal bulan ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19