Restoran solo

Stockholm: Ketika kebanyakan restoran dan kafe di seluruh dunia masih ditutup kerana ancaman Covid-19, terdapat tempat makan di Sweden yang mendakwa menawarkan pengalaman untuk menikmati hidangan dalam suasana paling selamat di dunia.

Hanya seorang pelanggan dilayan pada satu-satu masa dan lokasinya terletak di tengah-tengah padang tandus.

Oddity Central melaporkan ia kenyataan paling berani apabila mendakwa restoran diusahakan paling selamat di dunia namun pengusaha Bord för en itu (Meja untuk seorang) mempunyai alasan tersendiri.

PENGASAS Bord för en, Linda Karlsson dan pasangannya, Rasmus Persson. FOTO FB Bord för en
PENGASAS Bord för en, Linda Karlsson dan pasangannya, Rasmus Persson. FOTO FB Bord för en

Bukan sekadar restoran unik mempunyai meja kayu dan sebuah kerusi di tengah padang, sebaliknya tempat makan itu yang terletak di pedalaman Ransäter, Sweden turut mengamalkan garis panduan tertentu untuk meminimumkan jangkitan wabak.

Bord för en digambarkan sebagai pendekatan kreatif untuk konsep restoran pasca Covid-19, adalah ilham pasangan Linda Karlsson dan Rasmus Persson yang dirancang dibuka pada 10 Mei hingga Ogos.

Kedua-duanya percaya makan secara solo adalah konsep makan ideal kerana tiada gangguan untuk menikmati keenakan makanan manakala penjarakan sosial kebetulan melengkapkan konsep meja solo restoran itu.

Panduan selamat lain diamalkan ialah tiada staf pelayan untuk menghidangkan makanan sebaliknya pelanggan perlu menyediakan sendirinya sebaik makanan dan minuman dari dalam bakul yang dihantar menerusi tali diikat dari tingkap dapur berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19