Ribuan doktor di Korea Selatan lancar mogok

Seoul: Puluhan ribu doktor melancarkan mogok berskala penuh di seluruh negara hari ini sebagai protes terhadap rancangan reformasi tenaga kerja perubatan kerajaan, walaupun ada perintah untuk kembali bekerja, lapor agensi berita Yonhap.

Tindakan kolektif tiga hari oleh doktor, termasuk doktor pelatih dan doktor residen di hospital umum dan pengamal di klinik kejiranan, hadir ketika mereka menolak tindakan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar perubatan.

Mogok itu adalah yang kedua seumpamanya dan dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Korea (KMA), yang mempunyai kira-kira 130,000 ahli.

Susulan mogok itu, kementerian kesihatan mengeluarkan perintah wajib kepada doktor yang bekerja di hospital di wilayah Seoul supaya kembali bekerja, atas alasan kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19.

“Setakat jam 8 pagi, kerajaan telah memerintahkan doktor pelatih yang bekerja di hospital latihan di Seoul, daerah Gyeonggi dan Incheon untuk segera kembali ke perkhidmatan perubatan mereka,” kata Menteri Kesihatan, Park Neunghoo.

Mereka yang tidak mematuhi perintah kerajaan tanpa sebab yang yang boleh diterima mungkin boleh ditarik lesennya, bahkan boleh dikenakan hukuman penjara kurang tiga tahun atau denda kurang dari 30 juta won (RM104,259).

Bagaimanapun, kesepakatan itu ditolak Persatuan Pelatih dan Residen Korea (KIRA) yang mewakili doktor pelatih, kata kementerian.

Ribuan doktor pelatih melakukan mogok sejak akhir minggu lalu, mendesak kerajaan membatalkan rancangan itu.

Mogok itu menyebabkan gangguan dalam sistem rawatan kesihatan tatkala negara ini sedang bergelut untuk membendung peningkatan kes baharu Covid-19.

Korea Selatan hari ini melaporkan 320 kes baharu termasuk 307 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes menjadi 18,265, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Lima hospital utama di negara ini terpaksa memendekkan waktu klinik dan menangguhkan beberapa pembedahan.

Sebanyak 115 pembedahan di Pusat Perubatan Samsung ditunda.

Sebahagian klinik kejiranan ditutup semalam.

Kira-kira 33 peratus pengamal perubatan menutup klinik ketika mogok pertama awal bulan ini.