Rihanna mohon maaf kepada umat Islam

Los Angeles: Bintang pop yang juga usahawan fesyen, Rihanna memohon maaf selepas menggunakan lagu dengan petikan hadis ketika sebuah pertunjukan fesyen pakaian dalam wanita.

“Saya mahu memohon maaf kepada komuniti Muslim kerana kesilapan yang tidak disengajakan dalam pertunjukan Savage x Fenty , “katanya menerusi Instagram (IG) Stories.

Menurut penyanyi dan pelakon itu, beliau sama sekali “tidak akan bertoleransi terhadap perbuatan yang tidak menghormati mana-mana agama”.

Isu mengenainya timbul selepas artis kelahiran Barbados itu mengadakan pertunjukan pakaian dalam Savage x Fenty

yang disiarkan secara langsung menerusi platform, Amazon Prime pada 3 Oktober lalu.

Ketika pertunjukan, model dilihat menari ketika lagu berjudul Doom yang dihasilkan oleh komposer Coucou Chloe.

Bagaimanapun, lagu berkenaan dipercayai mengandungi petikan hadis mengenai hari kiamat.

Susulan kejadian itu, Rihanna dan produsernya sudah membuat permohonan maaf.

“Saya mahu memohon maaf secara ikhlas atas kesilapan ini. Kami faham ia sudah menyinggung perasaan umat Islam dan saya amat kesal dengan perbuatan ini,” katanya

Dalam pada itu Coucou Chloe mendakwa bahawa lagu berkenaan menggunakan petikan satu lagu yang ditemui dalam talian dan ia digunakan tanpa mengetahui lagu terbabit mengandungi petikan hadis.