RM158,804 lepas ditipu janda

Mumbai: Seorang warga emas di India bukan saja kerugian Rs28 lakh (RM158,804.61), malah mengalami serangan jantung selepas bakal isterinya melarikan diri.

Media tempatan melaporkan mangsa ditipu suspek pada bulan Ogos tahun lalu.

Lapor Gulf News, isteri pertamanya meninggal dunia pada Februari 2018 sebelum mengambil keputusan berkahwin lagi dengan janda yang memiliki anak berusia 21 tahun atas nasihat seorang rakan.

Wanita itu bersama keluarganya datang ke Mumbai untuk melangsungkan majlis perkahwinan dan menetap di rumah mangsa.

Tanpa menyedari niat jahat wanita itu, warga emas itu menyerahkan kunci rumah kepada wanita itu selain terpedaya dengan cadangan wanita mendaftarkan perkahwinan mereka di Jaipur.

Namun, pada 8 Ogos tahun lalu mangsa bersama wanita dan keluarganya ke Jaipur untuk menghantar afidavit dan dokumen berkaitan namun tarikh perkahwinan mereka diberikan selepas 30 hari.

Warga emas itu pulang ke Mumbai kerana tidak mahu menetap di Jaipur dalam tempoh sebulan namun ketika pulang ke rumah, dia mendapati geran tanahnya hilang.

Dia juga membuat pemeriksaan di bilik keluarga wanita itu menumpang dan mendapati barangan kemas dan barangan berharga lain hilang dan cuba menghubungi wanita itu tetapi gagal.

Dia kemudian ke Jaipur mencari wanita itu dan keluarganya tetapi tidak menemui mereka sebelum diserang penyakit jantung.

Lelaki itu yang kecewa menarik balik permohonan petisyen perkahwinan mereka dan membuat laporan polis.

“Saya sangat marah atas apa yang berlaku ke atas saya. Saya sangat tertekan dan mengalami serangan jantung,” katanya.

Berdasarkan laporan disiarkan akhibar tempatan, polis memfailkan kes bagi membawa wanita dan keluarganya itu mengikut seksyen 420 (menipu).