RM206,668 kos usir anak dari apartmen

MELBOURNE: Pelik tapi benar. Seorang lelaki di Victoria, Australia terpaksa membelanjakan 70,000 dolar Australia (RM206,668) semata-mata untuk mengusir anak perempuan dari apartmennya.

Bagaimanapun, dia masih gagal meskipun selepas proses perundangan yang memakan masa lapan tahun.

Oddity Central melaporkan Peter Grundy, 84, mahu menjual rumah itu bagi mendapatkan duit deposit untuk berpindah ke rumah persaraan.

Duit itu penting sebagai kos bagi menempah tempat di premis berkenaan.

Bagaimanapun, anak perempuannya, Katrina, 49, berdegil dan tidak mahu keluar dari rumah itu.

Malah, wanita itu sebaliknya mendakwa bapanya itu sudah menghadiahkan apartmen itu kepadanya, lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Grunt mendakwa dia menanggung kerugian sewa selama lapan tahun sebanyak 200,000 dolar Australia (RM590,481).

Dakwanya, Katrina tidak membayar apa-apa dan tinggal di kediaman itu secara percuma.

Secara teknikalnya, hartanah itu milik Grundy berikutan lelaki itu membayar semua yuran penyelenggaraan dan cukai hartanah.

Sebaliknya, Katrina gagal membuktikan sebarang hak pemilikan apartmen berkenaan.

Ketika ditanya pemberita, wanita itu hanya memberikan jawapan bahawa dia mempunyai hak untuk menetap di situ.