Roket dilancar dari Gaza

Baitulmaqdis: Tentera Israel melancarkan serangan udara ke Gaza bagi membalas satu roket dilancarkan dari wilayah dikuasai Hamas itu.

Rejim itu berkata, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan pesawat tempur dan helikopter bagi menggempur kemudahan bawah tanah yang didakwa dimiliki Hamas.

Media sebelum ini melaporkan satu roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah wilayah diduduki Israel pada malam Selasa.

Ia selepas tentera Israel mengumumkan penemuan sebuah terowong dari selatan Gaza iaitu dari kawasan Khan Yunis.

Roket berkenaan bagaimanapun dapat ditangkis oleh sistem pertahanan udara Israel.

Bagaimanapun, tiada laporan berhubung kerosakan atau kecederaan susulan serangan berkenaan.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Beberapa jam sebelum itu, Israel mengumumkan pihaknya menemui sebuah terowong yang sudah mencapai beberapa puluh meter dari Gaza.

Jurucakap tentera berkata, pihak yang bertanggungjawab mengorek terowong itu belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, Israel meletakkan tanggungjawab terhadap semua aktiviti di wilayah diduduki oleh penduduk Palestin itu kepada Hamas.

Terowong itu dikesan oleh sensor bawah tanah berhampiran sempadan.

Sejak 2014, rejim Israel sudah mengesan lebih 20 terowong bawah tanah dari Semenanjung Gaza.

Gaza dengan jumlah penduduk amat padat dikenakan sekatan oleh Israel sejak 2007, selepas Hamas menguasai wilayah berkenaan.

Israel dan Hamas saling berbalas serangan dengan serangan kali terakhir adalah pada 16 Oktober lalu.