Rombak Jabatan Polis Minneapolis

Washington: Jabatan Polis Minneapolis akan dirombak dan disusun semula supaya beri gambaran lebih positif dan selamat kepada komuniti, kata ahli majlis bandar itu pada Ahad.

Tindakan diambil susulan kematian George Floyd ketika ditahan polis jabatan itu yang mencetuskan tunjuk perasaan berhubung perkauman di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan kini merebak di United Kingdom dan Eropah.

Presiden Ahli Majlis Perbandaran Minneapolis, Lisa Bender memberitahu CNN, bahawa pihaknya komited melakukan rombakan berkenaan.

“Kami mahu menyusun semula Jabatan Polis bersama komuniti dan menjadi model baharu kepada keselamatan awam, yang benar-benar menjaga komuniti,” katanya.

Ahli majlis, Alondra Cano dalam ciapan di Twitter memaklumkan, keputusan dibuat selepas memperoleh kelulusan majoriti anggota Perbandaran MPLS yang bersetuju bahawa jabatan polis itu tidak boleh diperbaiki dan pihaknya akan mengakhiri sistem kepolisan ketika ini.

AFP melaporkan polis berkulit putih didakwa membunuh Floyd pada 25 Mei lalu, selepas video menunjukkan dia menekan leher lelaki kulit hitam berkenaan dengan lutut hampir sembilan minit. Mangsa juga dilihat merayu dilepaskan dan memanggil ibunya.

Ia adalah kes terbaharu membabitkan penguat kuasa berkulit putih dipersalahkan atas kematian lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata.

Kematian Floyd membangkitkan tunjuk perasaan dan demonstrasi di seluruh AS selama dua minggu.

Tahun lalu, seorang bekas polis Minneapolis berkulit hitam dipenjara 12 tahun dan enam bulan kerana menembak mati seorang wanita Australia berkulit putih dan tidak bersenjata yang mahu melaporkan jenayah.