Rompak wanita bayar hutang

Surabaya: Akibat terdesak untuk melangsaikan hutang untuk membina rumah, seorang lelaki di Indonesia cuba mencari wang segera dengan merompak.

Pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu dipercayai merompak seorang wanita berusia 56 tahun di Mojokerto, Jawa Timur pada 7 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang wanita kerugian 50 juta rupiah (RM14,000).

Bagaimanapun, kerja haram suspek berjaya dihidu polis yang berjaya menahan lelaki terbabit di rumahnya, sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Mojokerto, Dony Alexander berkata, suspek dipercayai sudah beberapa kali mengintip rumah mangsa sebelum memutuskan untuk melakukan rompakan itu.

Menurutnya, selepas yakin mangsa tinggal bersendirian, suspek kemudian memecah masuk kediaman wanita itu.

Katanya, pada kejadian itu, suspek melarikan pelbagai barang kemas dan harta benda lain milik mangsa.

“Suspek bertindak sedemikian kerana mempunyai hutang yang perlu dilangsaikan selepas membina rumahnya.

“Terdesak untuk mendapatkan wang segera menyebabkan suspek mengambil keputusan untuk merompak,” katanya seperti dilaporkan portal Kompas.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati suspek turut merompak seorang guru di kawasan Ngoro, pada Mac lalu.

Bagaimanapun, pada kejadian itu, dia berjaya meloloskan diri.

Dony berkata, suspek ketika disoal siasat turut mengakui bahawa wang gaji yang diterima masih tidak mampu menampung hutang yang banyak.

Bagaimanapun, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 tahun,” katanya.