Rupa-rupanya bayi kembar masih hidup

Manama: Mengejutkan apabila bayi kembar di Bahrain yang pada awalnya disangka meninggal dunia rupa-rupanya masih hidup.

Bagaimanapun, ia sudah terlambat apabila kedua-duanya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Media tempatan melaporkan pada kejadian berkenaan, si bapa dimaklumkan kedua-dua bayi itu yang dilahirkan tidak cukup bulan meninggal dunia.

Pihak hospital kemudian menyerahkan kedua-dua bayi itu kepadanya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bilad Al Qadeem di sini.

Bagaimanapun, ketika mahu dikebumikan, dia mendapati kembar berkenaan masih bernyawa.

Panik dengan kejadian itu, lelaki itu bergegas membawa bayinya ke hospital terbabit untuk menerima rawatan.

Namun, kedua-duanya gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian, Kementerian Kesihatan membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden berkenaan.

Ia diketuai oleh Ketua Perkhidmatan Perubatan Kompleks Perubatan Salmaniya SMC, Dr Nabeel Al Asheeri.

Dr Al Asheeri berkata, mereka yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Seorang doktor digantung tugas sehingga penyiasatan jawatankuasa berakhir,” katanya.