Salah teknik ujian Covid-19, bendalir otak bocor

Washington: Ujian calitan Covid-19 pada rongga hidung seorang wanita di Amerika Syarikat menyebabkan kebocoran bendalir dari bahagian otaknya.

Ia berdasarkan satu laporan artikel oleh doktor menerusi satu jurnal perubatan pada Khamis.

Mangsa yang berusia 40 tahun didiagnos dengan masalah kesihatan yang jarang dilaporkan itu dan ia dikatakan berpunca selepas dia menjalani ujian calitan yang tidak dilakukan dengan betul.

Kes terpencil itu menunjukkan masalah berpunca daripada ujian calitan menerusi rongga hidung, tetapi risiko komplikasi berkenaan adalah masih rendah.

Pakar Otolaringologi-Kepala dan Pembedahan Leher dari University of Iowa Hospital, Jarrett Walsh bagaimanapun berkata, petugas perubatan perlu mengikuti protokol yang betul dalam menjalankan ujian saringan Covid-19. .

Beliau yang turut berperanan sebagai pengarang bersama artikel berkenaan berkata, mereka yang pernah menjalani pembedahan membabitkan tengkorak atau berkaitan sinus perlu meminta untuk menjalani ujian berkenaan secara oral.

Sementara itu, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak di Lenox Hill Hospital di New York yang tidak terbabit dengan artikel berkenaan berkata, individu yang menjalankan ujian swab perlu menjalani latihan yang mencukupi dan sentiasa berwaspada

Walsh yang bertugas di University of Iowa Hospital berkata, wanita dalam kes itu menjalani ujian saringan menerusi rongga hidung sebelum dijadualkan menjalani satu pembedahan.

Menurutnya, wanita itu mendapati terdapat cecair keluar dari salah satu rongga hidungnya.

Beliau berkata, wanita terbabit kemudian mengalami pening kepala, muntah-muntah dan amat sensitif dengan cahaya, sebelum dirujuk kepadanya.

“Sebelum in, dia menjalani ujian calitan untuk prosedur lain, tetapi tidak berdepan dengan sebarang masalah. Dia berpendapat mungkin ujian kali kedua itu tidak membabitkan teknik yang betul,” katanya. i

Susulan kejadian berkenaan, pesakit itu mendapatkan rawatan dan kini sudah pulih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19