Sampai hati ayah…

NEW DELHI: Kejamnya hati seorang bapa di India apabila tergamak memukul anaknya dalam keadaan kaki diikat ke atas dan kepala di bawah hanya kerana berang kanak-kanak itu mencuri gandum.

Berdasarkan rakaman video yang tular, kanak-kanak itu diikat pada tiang di tingkap rumah belum siap.

Tanpa perikemanusiaan, lelaki itu gagal menahan kemarahannya terhadap anak sulung daripada tiga beradik itu sambil memukulnya.

Orang ramai yang menyaksikan insiden itu cuba mententeramkan dan menasihati lelaki itu supaya tidak menganiaya anaknya namun lelaki itu tidak mengendahkannya.

Portal Gulf News melaporkan lelaki itu berang apabila mengetahui anaknya itu mencuri gandum di rumah sebelum menjualnya untuk membeli gula-gula.

Kejadian dilaporkan berlaku di kampung Maveli di daerah Agra, negeri Uttar Pradesh petang Jumaat lalu.

Superintendan Polis Agra, Ravi Kumar mengesahkan lelaki itu ditahan untuk siasatan.

Katanya, suspek bertindak sedemikian selepas berang dengan perbuatan mencuri anaknya.

Difahamkan, sebelum itu suspek juga bertengkar dengan isteri sebelum wanita itu keluar menumpang di rumah kakaknya.

Lelaki itu mengaku dalam pengaruh alkohol ketika memukul anaknya itu.