Saring 11j penduduk

PIHAK berkuasa Wuhan akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 besar-besaran terhadap 11 juta penduduknya.

Ia susulan terdapat kes jangkitan baharu dikesan selepas perintah lockdown di bandar berkenaan ditarik balik pada 8 April lalu.

Media tempatan melaporkan semua pegawai daerah di Wuhan diminta mengemukakan pelan tindakan ujian saringan yang dapat dilaksanakan dalam tempoh 10 hari.

Bloomberg melaporkan pelan itu perlu mengutamakan kumpulan dan kawasan yang terdedah seperti perumahan.

Enam kes dilaporkan pada 10 dan 11 Mei lalu membabitkan individu yang menjalani kuarantin dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

Langkah terbaru itu mencerminkan tindakan proaktif China bagi membendung gelombang baharu penularan wabak berkenaan.

Wuhan sebelum ini dikenakan perintah lockdown mulai 23 Januari selepas menjadi pusat meletusnya wabak Covid-19 sebelum virus itu tersebar ke seluruh dunia.

Biarpun kehidupan rakyatnya sudah kembali nomal, ia tetap menjadi perhatian dunia apabila Amerika Syarikat menuduh virus itu berasal dari sebuah makmal di Wuhan.

China bagaimanapun menolak sebarang kaitan makmal berkenaan dengan Covid-19.

Malah, pengarahnya mengatakan tidak ada kakitangan makmal itu dijangkiti virus berkenaan.

Dalam pada itu, China merekodkan tujuh kes baharu Covid-19 Selasa lalu, berbanding hanya satu kes pada hari sebelumnya.