Sebulan 8 kali dipatuk ular sama

New Delhi: Bagaikan kisah dewa ular seperti dalam filem, seorang remaja lelaki di Uttar Pradesh, India, hidup dalam kebimbangan selepas mendakwa dipatuk ular sama sebanyak lapan kali dalam tempoh sebulan.

Yashraj Mishra, 17, dari Kampung Rampur, Basti, dilaporkan menjadi sasaran ular berkenaan tanpa diketahui puncanya.

Ahli keluarga remaja itu ada membawa individu terbabit berjumpa doktor di kampung berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, dia dibawa berjumpa pawang ular.

Bagaimanapun, keadaan nampaknya tidak berubah dan usaha itu sama sekali tidak menghentikan serangan ular terbabit.

Gulf News melaporkan, selepas dipatuk tiga kali, keluarga remaja itu memindahkannya ke rumah saudara di kampung berhampiran.

Namun, ular sama dikatakan tetap ‘menjejaki’ remaja berkenaan

“Selepas dipatuk tiga kali, saya menghantar anak ke rumah saudara, Ramji Shukla di Kampung Bahadurpur.

“Beberapa hari kemudian, Yashraj terlihat ular berkenaan berhampiran rumah dan dia dipatuk sekali lagi serta dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata bapa remaja itu, Chandramauli Mishra.

Media di India melaporkan, kali terakhir remaja itu dipatuk ular berkenaan adalah pada 25 Ogos lalu dan ia kali kelapan sejak sebulan lalu.

Dia dilaporkan trauma selepas menjadi sasaran ular terbabit, walaupun sudah berada jauh dari rumahnya.

“Kami tidak faham mengapa ular itu menyasarkan Yashraj hingga menyebabkan mentalnya terganggu,” katanya yang turut melakukan ritual untuk menghentikan serangan itu.