Segalanya demi ibu sakit kanser

DUBAI: Terdesak untuk menemui ibunya yang disahkan kanser peringkat akhir, seorang ahli perniagaan India pada mulanya bersedia menyewa jet peribadi 10 tempat duduk berharga $58,800 (RM252,340) supaya dia dapat menemui orang tersayang itu.

Ketika perancangan, ahli perniagaan dari Kolkata berkenaan, Gautam Banka masih kekurangan empat penumpang untuk mengisi tempat duduk jet peribadi.

“Saya masih kekurangan empat penumpang. Pada masa itu saya terfikir kenapa tidak menyewa pesawat yang lebih besar dan menghantar pulang lebih ramai orang dengan harga lebih rendah,” kata bekas penuntut Universiti Harvard itu.

Idea itu menjadi kenyataan apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah India Indigo membawa 170 penumpang ke ibu negara Benggala Barat dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Ahad lalu.

“Satu tiket perjalanan berharga Dh1,050 (RM1,221) setiap seorang, yang jauh lebih rendah daripada dikenakan ejen pelancongan,” kata Banka yang mengatur penerbangan sewaan dengan harga Dh190,000 (RM220,999) dengan bantuan rakan Tushar Majumdar dan Rajiv Nathany, kedua-duanya dari Dubai.