Sejarah, budaya Yahudi diajar di sekolah di Maghribi

Rabat: Sejarah dan budaya Yahudi di Maghribi tidak lama lagi menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah – buat kali pertama diwujudkan di rantau ini dan negara Afrika Utara yang mana Islam adalah agama negara.

Keputusan Maghribi itu diibaratkan umpama kesan tsunami, kata Setiausaha Agung Majlis Komuniti Yahudi di Maghribi, Serge Berdugo.

“Ini (pembelajaran sejarah dan budaya Yahudi) yang pertama di dunia Arab,” katanya kepada AFP dari Casablanca.

Maghribi minggu ini menjadi negara Arab keempat sejak Ogos lalu yang mengumumkan perjanjian bersama Amerika Syarikat (AS) untuk menormalkan hubungan dengan Israel, selepas Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, pejabat kedutaan akan dibuka semula di Tel Aviv dan Rabat, yang ditutup Maghribi pada 2000 dan hubungan diplomatik penuh akan terjalin secepat mungkin.

Maghribi mengesahkan perkara itu dan mengatakan bahawa Sultan Mohammed VI sudah memaklumkan pentadbiran Presiden AS Donald Trump negara itu bersetuju mengembalikan hubungan diplomatik dengan Israel dengan ‘penangguhan’ yang minimum.

Lebih lanjut mengenai pengajaran sejarah dan budaya Yahudi di negara itu, ia sebahagian rombakan kurikulum sekolah yang berterusan sejak 2014 di Maghribi.

Ia akan dimasukkan pada sesi penggal persekolahan akan datang di negara itu di sekolah rendah mereka bagi murid berusia 11 tahun, kata Kementerian Pendidikan Maghribi.

Langkah itu bertujuan untuk menonjolkan identiti Maghribi yang pelbagai, menurut Ketua Program Akademik, Fouad Chafiqi di kementerian itu.

Komuniti Yahudi Maghribi wujud sejak zaman kuno dan berkembang selama berabad-abad, terutama dengan kedatangan orang Yahudi yang diusir dari Sepanyol oleh raja-raja Katolik selepas 1492.

Pada akhir 1940-an, penduduk Yahudi di Maghribi sekitar 250,000 orang, sekitar 10 peratus daripada populasi penduduk negara itu.

Bagaimanapun, ramai yang keluar dari negara itu selepas pembentukan Israel pada 1948 dan masyarakat itu kini sekitar 3,000 orang di Maghribi, masih yang terbesar di Afrika Utara.

Maghribi tidak akan ‘melenyapkan’ ingatan terhadap masyarakat Yahudi, kata kurator Muzium Yahudi Maghribi Casablanca, Zhor Rehihil.