Sejuta orang terima vaksin

Beijing: Hampir sejuta rakyat China sudah disuntik dengan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat negara itu, Sinopharm meskipun tanpa bukti jelas berhubung keberkesanannya.

China sudah memberikan vaksin berkenaan kepada kakitangan kerajaan, pelajar antarabangsa dari negara itu dan tenaga kerja yang berlepas ke luar negara sejak Julai lalu.

Pengerusi Sinopharm memberitahu media bahawa hampir sejuta rakyat China sudah diberikan vaksin itu yang diberikan berdasarkan penggunaan kecemasan.

“Kita tidak menerima satu pun laporan berhubung kesan sampingan yang serius, tetapi ada beberapa kes menunjukkan individu dengan simptom sederhana,” katanya dalam satu temu bual.

China kini bertungkus-lumus untuk mempercepat pengeluaran vaksin Covid-19 dengan empat daripadanya pada ujian peringkat akhir.

Kebanyakan daripada ujian vaksin dilakukan di luar negara, memandangkan situasi penularan virus berkenaan di negara terbabit adalah masih terkawal.

Sinopharm melaksanakan ujian fasa akhir vaksin dibangunkannya di negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Jordan, Peru, Mesir dan Argentina.

Ia juga mendakwa kini menjadi pendahulu dunia dalam pembangunan vaksin Covid-19.

Laporan menunjukkan individu disuntik vaksin berkenaan termasuk pekerja sektor pembinaan, diplomat dan pelajar antarabangsa yang mengembara ke lebih 150 negara tidak dijangkiti Covid-19.

Presiden Xi Jinping mengumumkan vaksin buatan China adalah untuk manfaat global meskipun negara itu sebelum ini dikritik berhubung cara ia mengendalikan penularan virus itu.

Bagaimanapun, individu yang disuntik vaksin itu adalah bukan peserta ujian klinikal, tetapi peserta sukarela.

Syarikat gergasi farmaseutikal utama dunia kini bertungkus-lumus dalam perlumbaan untuk menjadi yang pertama dalam menghasilkan vaksin Covid-19.

Di Amerika Syarikat, Pfizer dan rakan niaganya dari Jerman BioNTech serta Moderna sudah menerbitkan hasil kajian bahawa vaksin dibangunkan menunjukkan keberkesanan 95 peratus.