Sekejap perlu, sekejap tidak

Washington: Individu di Amerika Syarikat (AS) yang tidak menunjukkan gejala meskipun terdedah kepada pesakit Covid-19, tidak lagi disaran menjalani ujian saringan.

Garis panduan terbaharu itu dikeluarkan menerusi laman sesawang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu.

Presiden Donald Trump sebelum ini menggesa pihak berkuasa mengurangkan ujian saringan yang didakwa menjadi sebab lonjakan kes positif dalam statistik kes Covid-19 di AS.

Sebelum ini laman web CDC menyatakan: “Ujian saringan digalakkan kepada mana-mana individu yang menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

“Berikutan risiko penularan, adalah penting untuk mengesan kontak rapat pesakit dan mereka perlu menjalani ujian saringan.”

Terbaharu laman sama menyatakan: “Jika anda berhampiran dengan individu dengan pesakit positif Covid-19 (pada jarak enam kaki atau kira-kira 1.8 meter) untuk tempoh sekurang-kurangnya 15 minit, anda tidak perlu untuk mengambil ujian saringan, jika anda bukan individu yang berisiko tinggi atau disyorkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan insurans.”

Dalam pada itu, pegawai kanan CDC Brett Giroir memberitahu CNN bahawa garis panduan berkenaan dibuat selepas mengambil kira saranan daripada pasukan pakar petugas khas.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bukti yang menyokong sarananan berkenaan.

CDC AS sebelum ini mendedahkan bahawa antara 40 hingga 50 peratus individu dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala.

Justeru, ujian saringan perlu untuk mengekang penularan virus itu.

Dalam pada itu, banyak pakar bimbang berhubung dengan perkembangan terbaharu itu.

The New York Times dan CNN yang memetik sumber pegawai kerajaan berkata, arahan terbaharu itu berikutan desakan daripada Presiden.

AS kekal sebagai menjadi negara paling terjejas teruk akibat Covid-19 dengan 24.3 juta kes dan lebih 820,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19