Sekolah di Wuhan dibuka sepenuhnya, Selasa ini

BEIJING: Semua sekolah dan tadika di seluruh Wuhan yang menjadi bandar di China paling terjejas akibat Covid-19, akan dibuka sepenuhnya Selasa ini.

Ia akan membabitkan 1.4 juta pelajar di 2,842 institusi pendidikan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sudah bersiap siaga dengan pelan kecemasan untuk menukar kepada mod pembelajaran dalam talian, jika terdapat peningkatan kes baharu.

Selain itu, pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka dan mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam untuk pergi dan pulang ke sekolah.

Pihak sekolah juga diminta bersedia dengan peralatan kawalan penyakit dan sentiasa mengadakan latihan kecemasan.

Selain itu, tiada perhimpunan dalam skala besar dibenarkan dan pihak sekolah diminta mengemukakan laporan harian kepada pihak berkuasa kesihatan.

Kes pertama Covid-19 dikesan di Wuhan pada akhir tahun lalu.

Ia menyebabkan bandar itu dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) selama dua bulan, bermula akhir Januari.

Jumlah kematian di Wuhan adalah 3,869 orang iaitu 80 peratus daripada keseluruhan angka kematian akibat Covid-19 di China.

Situasi di Wuhan semakin pulih sejak April ketika lockdown itu ditarik semula.

Ia tidak merekodkan sebarang kes baharu jangkitan tempatan sejak 18 Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19