Sekolah tak tinggi, tapi…

New Delhi: Tiada kelulusan dalam bidang kejuruteraan bukan halangan untuk seorang pemuda di Lohardaga Jharkhand, India untuk berbakti dengan penduduk kampungnya.

India Times melaporkan, Kamil Topno membuktikannya dengan menghasilkan inovasi yang berupaya membekalkan elektrik secara percuma kepada 20 rumah di penempatannya di Kampung Dera Thakurain.

“Saya memulakan projek ini sejak 2013 hingga 2014 tetapi hanya berjaya setahun kemudian.

“Pada mulanya, saya menggunakan roda becak yang dilengkapi dengan dinamo untuk mengeluarkan elektrik yang tidak begitu efisien ketika aliran air perlahan.

“Idea itu tercetus ketika menganggur dan kerana bimbang diketawakan, saya memulakannya dengan senyap tetapi berkongsi hasilnya dengan penduduk kampung selepas melihatnya berkesan dan mereka sangat gembira,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik makmal dekat sebuah hospital di Dhanbad.

Kamil mengakui berdepan cabaran ketika menghasilkan ciptaan itu tetapi ia tidak membuatnya berputus asa.

“Saya gagal dua kali hingga menanggung kerugian 10,000 rupee (kira-kira RM554) tetapi tidak berputus asa dan akhirnya berjaya pada 2015,” katanya.

Menurut The New Indian Express, bekalan itu diperoleh daripada air terjun di puncak bukit dengan ketinggian 31 meter.

Mesin ‘jugaad’ ciptaan Kamil diperbuat daripada roda becak dan pelton yang berupaya menukar tenaga air yang turun dari ketinggian menjadi elektrik seterusnya dibekalkan setiap hari tanpa sebarang caj.

Difahamkan, kampung didiami Kamil mula mendapat bekalan elektrik pada 2018 tetapi tidak menentu.

Kini, penduduk kampung tidak lagi berdepan masalah hasil inovasi Kamil yang membantu mereka menyalakan rumah dan mengecas telefon bimbit mereka.

Usaha Kamil membantu penduduk ternyata tidak sia-sia kerana mendapat pujian daripada pihak berwajib.

“(Kamil) Topno benar-benar melakukan pekerjaan yang luar biasa,” kata wakil rakyat Deodharia Panchayat, Mukhiya Sumitra Lakra.