‘Selamat datang ke penjara, nak!’

Miami: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengacu pistol ke arah jurujual di pasar raya Walmart di Florida akibat berang dipaksa memakai pelitup muka.

Suspek, Vincent Scavetta, 28, ditahan kerana melakukan serangan menggunakan senjata berbahaya dan menunjukkan senjata api, kata jurucakap pejabat Sheriff Palm Beach.

“Selamat datang ke Penjara PBC, nak. Biarkan ini menjadi pengajaran. Ini mungkin berakhir dengan teruk,” ciap jabatan itu di Twitter.

Scavetta didapati mengacukan pistol ketika pergaduhan mulut selepas berang dipaksa memakai pelitup muka.

Walmart, peruncit terbesar di dunia, sejak 20 Julai lalu mewajibkan semua pelanggannya memakai pelitup muka ke premis mereka.

Tetapi ramai rakyat Amerika masih enggan memakainya dan selepas berbulan-bulan Presiden Donald Trump dan sekutu politiknya juga enggan memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, awal minggu ini Trump dilihat sudah berubah dengan memakai pelitup muka.

Dalam satu ciapan di Twitter, Trump mengulang pendirian terpaksa memakai pelitup muka terutama di tempat yang sukar melakukan penjarakan sosial.

“Kami bersatu dalam usaha mengalahkan virus China yang tidak kelihatan, dan banyak orang mengatakan bahawa adalah patriotik untuk memakai topeng muka ketika anda tidak dapat melakukan penjarakan sosial.

“Tidak ada yang lebih patriotik daripada saya, Presiden kegemaran anda!”

Gabenor Florida Republikan, Ron DeSantis yang juga seorang penyokong setia Trump berdepan kecaman teruk atas reaksinya menolak pemakaian pelitup muka di negeri itu.

Awal bulan ini di Perancis, seorang pemandu bas mati dipukul teruk oleh penumpang selepas meminta mereka memakai topeng sesuai dengan peraturan bagi mengekang Covid-19.