Seludup kokain dalam kotak pisang

Sydney: Seorang lelaki bakal meringkuk seumur hidup di dalam penjara selepas ditahan kerana menyeludup kokain bernilai 248 juta Dolar Australia (kira-kira RM1.02 bilion) semalam.

Kontena yang membawa barangan terlarang itu diisytihar sebagai buah-buahan sejuk dari Brazil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Polis Australia dan pegawai penguat kuasa sempadan merampas 552 kilogram dadah yang disorokkan di dalam palet pisang yang menggunakan logo koala.

Susulan daripada rampasan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 68 tahun di Forestville.

Penahanan suspek dibuat hasil kerjasama dan maklumat yang disalurkan pihak berkuasa Amerika Syarikat mengenai barangan diimport suspek yang tiba di Australia 21 September lalu.

Polis menahan Mark De Hesselle selepas membawa 139 kotak yang berisi buah namun disorok bersama dadah.

Dia didakwa atas kesalahan cubaan mengimport kuantiti komersial dadah kawalan dan memiliki dadah kawalan melebihi kuantiti yang dibenarkan.

Bagi kesalahan itu, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Detektif Polis Australia, Superintendan Geoffrey Turner berkata, kawalan sempadan tetap akan diteruskan walaupun negara masih berdepan Covid-19.

“Jenayah terancang ini akan menyumbang kepada peningkatan cubaan menyeludup lebih besar dengan penutupan sempadan.

“Mereka fikir dengan memilih barangan keperluan harian seperti buah dapat mengurangkan risiko pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya seperti dilaporkan portal canberratimes.com.au.