Sempat capai tangan bayi terjatuh dari tingkat 13

Beijing: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah situasi dialami bayi berusia dua tahun di China apabila terselamat selepas jatuh dari tingkat 13 kediamannya.

Toutiao News melaporkan, bayi lelaki dari bandar Hefei, wilayah Anhui itu, bernasib baik apabila jirannya yang berada di tingkat 12 perasan kejadian itu sebelum sempat menangkap lengannya, namun terperangkap di hadapan jeriji besi tingkap.

Tindakan pantas jiran lelaki yang pernah menjadi bomba hutan berjaya menahan bayi itu daripada terjatuh ke bawah, manakala isterinya menghubungi pihak berkuasa untuk membantu menyelamatkan bayi berkenaan.

Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian menggunakan alat pemotong elektrik khas bagi memotong jeriji besi tingkap sebelum berjaya mengeluarkan bayi itu.

Difahamkan, bapa bayi itu keluar meninggalkan bayi itu yang tertidur keseorangan di apartmen mereka.

Namun, bayi itu terjaga dan memanjat balkoni.

Rakaman video anggota bomba menyelamatkan bayi itu tular di media sosial hingga ada warganet yang memuji tindakan pantas pasangan jiran itu malah tidak kurang juga turut mengecam kecuaian bapa bayi itu.

“Sungguh dia bernasib baik ditangkap jirannya tepat pada masanya.

“Ibu bapa tidak seharusnya meninggalkan anak kecil di rumah sendirian,” komen seorang pengguna Sina Weibo.