Senjata api satu peluru bentuk pen

Kabul: Sekali pandang, ia kelihatan seperti pen biasa. Namun, tidak ramai yang mengetahui objek itu sebenarnya senjata api dalam bentuk pen atau pen gun.

Senjata api itu dalam bentuk silinder kecil hanya mempunyai satu peluru.

Bentuknya yang tak ubah seperti pen menyebabkan tidak ramai yang dapat mengagak ia adalah senjata berbahaya.

Ia amat sukar dikesan dan mudah dibawa ke mana-mana sekali gus menjadi ancaman terbaharu di Afghanistan.

Channel News Asia melaporkan ia sebahagian daripada senjata api yang dirampas polis di sini, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Jurucakap Jabatan Siasatan Jenayah Kabul berkata, senjata itu berbentuk seperti pen mekanikal dan peluru diletakkan di dalam ruang seperti bekas dakwat.

“Nampak sama seperti pen lain, hanya sasar, tekan dan ledakkan peluru,” katanya.

Minggu lalu, polis merampas 48 pen gun itu yang dijumpai bersama senjata lain seperti bom yang boleh diletakkan pada kenderaan dan diletupkan dari jarak jauh.