Seorang lagi bakal ‘jutawan batu’

Bangkok: Tuah bagi seorang nelayan di Thailand apabila menemui batu sisa buangan ikan paus yang dianggarkan mencecah 100 juta bath (RM13.4 juta).

Portal Coconuts Bangkok melaporkan, lelaki itu, Narit Suwansang, 60, menemui batu yang lebih dikenali sebagai ambergris itu ketika berjalan di sepanjang pantai Laem Talumphuk minggu lalu.

Di situlah dia menemui batu besar dan serpihan kecil berwarna kekuningan sebelum pulang ke rumah memanggil keluarganya kerana tidak dapat mengangkat batu itu sendirian.

Selepas membuat beberapa eksperimen dengan kaedah pembakaran dia mengetahui batu berkenaan adalah ambergris yang bernilai tinggi selepas mengeluarkan bau aneh.

Dengan berat 100 kilogram, ia dipercayai ambergris paling berat dalam sejarah sekali gus bakal menjadikan nelayan itu seorang jutawan.

Ambergris lazimnya didapati dalam usus ikan paus terbentuk akibat tindak balas ketika proses penghadaman mamalia itu dikatakan sangat berharga dalam pembuatan industri minyak wangi dan kosmetik dunia.

Nelayan itu berkata, seorang ahli perniagaan Phuket berminat membeli batu itu dengan menawarkannya nilai 960,000 bath (RM128,974) untuk sekilogram, jika benar terbukti batu itu daripada muntah ikan paus gred A.

Katanya, dia mengalu-alukan kerjasama pakar dari universiti tempatan dan biologi marin untuk menyelidik ketulenan batu itu.

Polis di Balai Polis Pak Phanang mengesahkan, mereka mendengar penemuan batu itu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ambergris kerap ditemui di teluk Thailand dengan beberapa laporan menyebut di Rayong, Surat Thani dan wilayah Trang.

Malah, awal Oktober lalu seorang pengutip sampah di negara itu turut menemui sebongkah batu ambergris bernilai 537,500 Pound Sterling (kira-kira RM2.9 juta).