Serah diri bawa kepala

Kathmandu: Gara-gara perselisihan faham, seorang remaja memenggal seorang lelaki sebelum membawa kepala mangsa ke balai polis.

Kejadian berlaku di daerah Dhading, wilayah Bagmati Pradesh di Nepal dan remaja berkenaan menyerah diri bersama ‘bukti’ Khamis lalu.

Portal Mirror UK melaporkan remaja itu, Raju Pariyar dari Khalchet, Nilkantha membawa kepala mangsa lelaki berumur 65 tahun yang dibunuhnya ke balai polis kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Dhading, Superintendan Rabindra Regmi berkata, remaja itu menyerah diri dengan membawa kepala berlumuran darah.

Selain itu dia turut membawa sebilah pisau yang digunakan untuk memenggal kepala mangsa.

Mangsa dikenal pasti sebagai Som Bahadur Gurung iaitu rakan sekampung Pariyar.

Polis kemudian mengambil senjata digunakan serta beg berisi kepala mangsa dan hasil siasatan awal mendapati Pariyar membunuh Gurung kerana perselisihan faham.

“Polis sedang melakukan bedah siasat ke atas mangsa dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.