Serah wilayah

Stepanakert (Azerbaijan): Armenia mula menyerahkan wilayah yang menjadi pertikaian kepada Azerbaijan, bermula semalam.

Ia adalah sebahagian daripada perjanjian damai yang mengakhiri pertempuran sengit selama enam minggu berhubung kemelut Nagorno-Karabakh.

Penduduk di daerah Kalbajar, Azerbaijan yang dikawal puak pemisah Armenia selama berdekad-dekad, mula meninggalkan wilayah itu secara beramai-ramai.

Tinjauan wartawan AFP mendapati penduduk terbabit memuatkan perabot dan peralatan dapur ke dalam kenderaan sebelum berangkat ke Armenia.

Malah, sebilangan penduduk daripada etnik Armenia memaklumkan, mereka turut menggali semula kubur kerana bimbang ia akan diganggu pihak Azerbaijan.

Kepulan asap tebal pula dilihat menyelubungi lembah berdekatan kampung Charektar selepas penduduk membakar kediaman mereka.

Mereka memilih untuk meninggalkan kawasan itu dalam keadaan musnah dengan kediaman yang tidak dapat dihuni oleh orang Azerbaijan.

Dalam pada itu, pasukan pengaman Rusia sudahpun ditempatkan di Nagorno-Karabakh, minggu ini.