Serang petugas, lelaki ditembak mati

Manila: Polis Filipina menembak mati seorang lelaki yang mengamuk selepas diminta memakai penutup mulut dan hidung.

Ketika kejadian, lelaki berusia 63 tahun itu dikatakan mabuk dan melakukan provokasi kepada pasukan keselamatan.

Media tempatan melaporkan kejadian berlaku di bandar Nasipit wilayah Agusan del Norte.

“Suspek diberi peringatan oleh petugas kesihatan supaya memakai penutup mulut dan hidung.

“Tetapi dia kemudian berang, melakukan provokasi dan menyerang petugas dengan menggunakan sabit,” kata jurucakap polis.

Khamis lalu, pihak berkuasa mengarahkan rakyat Filipina supaya memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar rumah.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte sebelum ini juga mengarakan pihak berkuasa melepaskan tembakan, jika ada pihak yang mengganggu tugas mereka.

Setakat ini, lebih 3,000 kes Covid-19 dilaporkan di Filipina dengan 144 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19