Seret anjing sampai mati
MADRID: Seekor anjing mati selepas diikat pemiliknya pada belakang kereta dan dipaksa berlari sehingga tubuhnya terseret di atas jalan.
Bagaimanapun, Express UK melaporkan lelaki itu ditahan selepas pengasas pusat menyelamat haiwan, Yolanda Reyez Hernandez melaporkannya kepada pihak polis menerusi perkongsian gambar keadaan anjing malang itu di media sosial.
Kejadian itu berlaku Khamis lalu ketika pemilik haiwan bernama Carlos bersama isteri dan anak lelakinya dalam perjalanan ke rumah kedua mereka di El Molar.
Menerusi perkongsian di Facebook, Yolanda memberitahu bagi menghilangkan kebosanan akibat menjalani kuarantin di rumah, keluarga itu membawa anjing peliharaan keluar sebelum mengikatnya di belakang kereta.
“Anjing itu dipaksa berlari sejauh beberapa batu sebelum tersadung dan terseret di atas jalan sebelum mati kerana lehernya terjerut.
“Ada jiran menyaksikannya cuba menghentikan kenderaan keluarga berkenaan sebelum merampas kunci kereta seterusnya menghubungi saya.
“Polis menjalankan kerja mereka dan kami membuat laporan atas perbuatan individu terbabit yang menyebabkan kematian haiwan peliharaannya,” tulisnya.
Menurut Yolanda, lelaki itu direman dan menunggu masa dibicarakan.
“Terima kasih kepada semua kerana mengambil risiko menangkap pembunuh itu termasuk pengawal keselamatan yang membantu mengendalikan kes ini,” tulisnya.
Insiden itu mendapat perhatian pencinta haiwan dengan rata-ratanya mengecam tindakan lelaki berkenaan yang bukan hanya membunuh haiwan, tetapi ingkar arahan berada di rumah ketika perintah berkurung masih berkuat kuasa.