Sesat tiga hari dalam saluran pembetungan

Beijing: Seorang pekerja penyelenggaraan sampah di Kunming, China berdepan detik cemas selepas terperangkap di saluran pembetungan selama tiga hari.

Bagaimanapun, dia bernasib baik selepas diselamatkan apabila seorang pemandu melihat jari lelaki itu di celah lubang penutup lurang.

Media tempatan melaporkan, lelaki itu berjalan untuk mengumpulkan sampah dan difahamkan tersesat dalam saluran pembetungan sejak 18 November lalu.

Tiga hari kemudian, dia diselamatkan selepas seorang pemandu mendengar jeritan meminta tolong dan melihat ada jari di celah penutup lurang.

“Dia seperti berusaha memberikan isyarat kecemasan,” katanya dalam insiden di Kunming, Yunan, di barat daya China itu.

Bomba terpaksa menggunakan rod besi dan mengetuk dengan tukul untuk menghancurkan simen yang menutup saluran pembetungan itu.

Mereka kemudian mengangkat lelaki itu dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan susulan.